08/09/2025
Dulu, bila kita bicara tentang seni, yang dimaksud bukan sekadar rupa atau hiburan. Ia adalah cermin – memantulkan wajah masyarakat, membongkar lapis-lapis kemanusiaan, dan kadang-kadang, menyindir dunia yang terlalu selesa dalam kebisuan.
Tapi sekarang, nampaknya seni lebih selesa jadi hiasan latar Instagram, atau bahan lelongan untuk golongan yang tak pernah benar-benar peduli. Kita meraikan yang cepat, yang cantik, yang boleh dijual – dan menyingkirkan yang sukar, yang jujur, yang menyakitkan. Asalkan dapat ‘likes’, semuanya dianggap bermakna.
Ramai berkata seni masih hidup. Ya, mungkin. Tapi hidup bagaimana? Seperti boneka yang diangkat bila sesuai, disimpan bila tak relevan. Kita sibuk meraikan nama besar, tetapi lupa bahawa seni yang sebenar tak perlu disorak – ia hanya perlu dirasai.
Mungkin aku kedengaran terlalu lama, terlalu kuno. Tapi kadang-kadang, menjadi kuno itu cuma bermakna kau masih ingat. Masih peduli.
Seni tidak mati. Ia cuma penat. Letih menunggu manusia berhenti bercakap panjang dan mula mendengar kembali.
Hormat dan kasih,
seorang pencinta seni sejak dulu
DD Tan