29/06/2022
SIRIH JUNJUNG BUKAN SEKADAR PELENGKAP HANTARAN.
Apa pulak yang Kak Mekar nak kongsikan kali ni ya? Macam serius sahaja bunyinya. Betul tu, kali ni Kak Mekar nak cerita sikit berkenaan dengan maksud tersirat di sebalik Sirih Junjung yang mungkin akan lapuk ditelan zaman kalau kita tak cuba untuk ambil tahu. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bukan sahaja mengekalkan tradisi ini, malah menjadi generasi yang serba tahu tentang adat resam budaya kita.
Sirih Junjung sudah menjadi satu kewajipan untuk majlis merisik, bertunang, dan kahwin bagi orang Melayu kerana biasanya ia akan duduk paling hadapan dan akan menjadi ‘kepala’ atau ‘penghulu’ kepada segala hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki ataupun pihak perempuan. Korang pernah terfikir tak apa istimewa sangat Sirih Junjung ni?
Okay jom Kak Mekar kongsikan dengan korang semua apa yang ada dalam Sirih Junjung dan maksud setiap bahan yang digunakan.
1. Daun Sirih – membawa maksud mulia hatinya, berani, tidak mudah berputus asa dan rendah diri.
2. Gambir – rasa pahitnya menggambarkan keteguhan hati seseorang.
3. Kapur – memberi rasa yang payau, pahit serta hangat jika dimakan bersama dengan sirih. Ia membawa maksud hati yang suci tetapi boleh memberontak jika dicabar.
4. Pinang – melambangkan keturunan yang baik dan berhati mulia
5. Tembakau – membawa maksud seorang yang tabah dan sanggup berkorban di dalam apa jua hal.
6. Cengkih – rasanya yang pedas memberi gambaran seseorang yang berpegang kuat pada prinsip.
Jika dicampurkan ke semua bahan tersebut dan dimakan pasti akan menimbulkan rasa manis, masin, masam dan pahit. Ke semua rasa tersebut melambangkan bagaimana asam garam kehidupan apabila memasuki alam perkahwinan. Apabila diperhatikan semula, nenek moyang kita terdahulu sangatlah bijak dalam meletakkan sesuatu sebagai analogi kehidupan.
Di zaman moden ini Sirih Junjung sudah berubah dari segi gubahan dan dicampurkan dengan pelbagai gubahan-gubahan yang moden namun penggunaan bahan utamanya daun sirih masih dikekalkan dan ianya masih menjadi kepala kepada dulang hantaran yang lain. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kefahaman dan budaya tersebut agar dapat diteruskan oleh generasi-generasi pada masa hadapan.
Untuk korang yang tengah mencari servis untuk gubahan barang hantaran dan gubahan bunga tangan boleh terus hubungi Team Mekar di https://wa.me/+601110531544