16/07/2024
Ternampak status ni lalu...
Nak jawab senang jer...
Kalau Nabi Musa boleh belah laut matikan Firaun dan tenteranya sebab apa dia tetap sesat tak boleh masuk Palestin? Atau kenapa tidak boleh lingkupkan penguasa Palestin masa itu?
Rasulullah yang sangat dekat dengan Allah, boleh belah bulan, boleh naik ke langit, sebab apa baginda tak guna semua kuasa tu lingkupkan musuh dia. Kenapa mesti baginda patah gigi dan luka berdarah dalam Perang Uhud?
Kalau Nabi Isa boleh hidupkan orang mati, kenapa tak hidupkan ramai lagi penyokong dia? Atau boleh juga bertanya, kalau Nabi Nuh boleh selamatkan manusia dengan kapal, kenapa baru mahu membina kapal setelah 950 tahun?
Kalau Saidina Umar boleh selamatkan pasukan tentera Islam dalam perang dengan menyuruh tenteranya bersembunyi kerana dapat melihat mereka dari Madinah, kenapa tidak selamatkan lagi dan lagi dan lagi tentera Islam dalam perang yang lain?
Persoalan ini semua hampir sama dan jawapannya ialah sebab ini semua kuasa Allah. Dia yang berikan pada masa yang Dia kehendaki kepada sesiapa sahaja. Mukjizat bagi nabi dan rasul, karamah bagi manusia istimewa yang Allah pilih.
Kedua kuasa yang diberikan Allah ini, bukan bermatlamat mutlak untuk menang perang semata-mata. Tetapi menjadi pengukuhan akidah kepada yang mempercayai dan menjadi azab kepada musuh.
Mukjizat dan karamah ini adalah hal yang mencarik adat pada masa itu dan berlaku jarang-jarang sekali menyebabkan ia dilihat istimewa.
Kalau berlaku hari-hari berlaku, ia sudah tidak istimewa lagi, tiada kepelikan dan tiada siapa yang akan rasa apa-apa. Siapa hairan lagi kalau kita boleh melihat sesuatu yang berlaku jauh dari tempat kita dan bercakap-cakap dengan orang yang jauh ribuan batu sekarang sebab sudah ada 'live'.
Dan tahukah mereka ini yang semua mukjizat dan karamah itu tetap dihina oleh orang yang sakit jiwa mereka. Jangankan nabi dengan musuh Allah, malahan Saidina Umar juga dicemuh orang Islam sendiri, dianggap gila kerana berteriak hal lain ketika berkhutbah.
Spesis begini akan percaya terjadi keajaiban kepada nabi dan sahabat sahaja. Itupun kerana dia terpaksa percaya atas kewajipan mempercayai mukjizat. Agaknya kumpulan mana mereka ini berpihak jika hidup dizaman nabi dan sahabat apabila mendengar cerita pelik sebegitu?
Puak-puak ni kalau diceritakan perihal bagaimana tentera Soviet kalah di Afghanistan disebabkan kepelikan-kepelikan yang tentera mereka saksikan, aku yakin mereka tidak akan percaya.
Pasti mereka akan bertanya, habis tu, kenapa kena jajah juga dengan Amerika dah kata banyak sangat karamah masa perang dengan Soviet dulu? Dia kira menang perang itu dipihak yang betul, kalah itu dipihak yang salah.
Mungkin bagi mereka karamah atau hal yang pelik-pelik sudah terputus setelah matinya rasul-rasul dan sahabat. Setakat tu sahaja. Tabi'in dan ke bawah, tidak layak, bukan termasuk dalam hal ini. Tak payah sebutlah pasal wali-wali, itu semua tidak ada sijil pengesahan.
Dan inilah permulaan dan isi kandungan kepada pemikiran yang menghina ulamak. Konon tak mau taksub kepada manusia biasa, tapi tergelincir sebab tiada ilmu. Rukun pertama ilmu mereka mesti logik dahulu.
Susah hati betul dia orang kalau dapat cerita pasal wali dan karamah ini. Perlu mereka yang sahkan betul atau salah.
Cerita karamah kepada wali sebegini bukan wajib diimani. Tetapi kenapa perlu kau mengutuk? Apa yang kau dapat. Jika dikatakan tiada bukti ia benar, maka sama juga ia tiada bukti yang cerita itu salah.
Mohd Nasir Abdullah
6 Julai 2024