06/08/2026
Seluruh Tanah air berduka atas pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan meninggal dunia dalam satu kejadian tragis akibat renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort, Sabah, pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang, ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Balai Polis Weston dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku ketika mereka cuba menjolok buah kelapa menggunakan galah jenis besi sebelum galah tersebut terkena kabel elektrik berarus tinggi, menyebabkan ketiga-tiga mangsa mengalami renjatan elektrik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Beliau memaklumkan bahawa berdasarkan keterangan saksi, orang awam yang berada di tempat kejadian turut berusaha membantu dengan menggunakan dua alat pemadam api jenis serbuk sebelum ketibaan pasukan bomba.
Namun, segala usaha tidak mampu mengubah takdir. Tiga anggota yang selama ini menggalas amanah menjaga keselamatan masyarakat akhirnya pergi buat selama-lamanya dalam satu kejadian yang tidak pernah disangka.
Pemergian mereka bukan sahaja dirasai oleh keluarga tercinta, malah turut meninggalkan kesedihan mendalam kepada seluruh warga PDRM serta rakan-rakan seperjuangan yang pernah berkhidmat bersama.
Tragedi ini menjadi peringatan bahawa bahaya elektrik boleh berlaku dalam sekelip mata. Sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan peralatan logam berhampiran kabel elektrik perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan.